Wednesday, February 10, 2010

10 Amalan Utama Pembaziran Petrol


Dengan harga pasaran petrol yang tidak menentu pada masakini, sudah pastilah kita sentiasa mahu memastikan yang kita mengamalkan aktiviti penggunaan petrol yang optimum. Tetapi ramai daripada kita yang tidak menyedari ada di antara amalan-amalan seharian yang dilakukan sebenarnya menyumbang kepada pembaziran petrol. Berikut adalah 10 amalan utama yang menyebabkan pembaziran petrol berlaku.

1.Tidak Memasang Penghawa Dingin Ketika Memandu
Ramai di antara kita yang beranggapan bahawa memasang penghawa dingin semasa memandu hanya akan meningkatkan penggunaan petrol. Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa pembaziran minyak lebih banyak terjadi apabila terdapatnya rintangan aerodinamik, lebih-lebih lagi jika tingkap kereta diturunkan. Jadi semasa memandu menyusuri lebuhraya, pasangkan sahaja penghawa dingin dan tutupkan tingkap kenderaan anda rapat-rapat ya.

2.Membiarkan Enjin Kenderaan Anda Terpasang Tanpa Bergerak
Membiarkan enjin kenderaan anda terpasang tanpa bergerak hanya akan mengakibatkan pembakaran gas yang sia-sia. Dengan penggunaan enjin moden dengan suntikan bahan api, ianya hanya memerlukan jumlah petrol yang sangat sedikit untuk menghidupkan enjin kereta yang sudahpun dipanaskan. Usah bimbang untuk menghangatkan enjin kereta anda sebelum mula memandu. Anda boleh mula memandu dengan serta-merta sebaik sahaja menghidupkan enjin kereta, tapi pastikan ianya dilakukan dengan perlahan-lahan sehinggalah enjin anda mulai panas.

3.Mengabaikan Servis Kenderaan
Menghantar kenderaan anda untuk diservis bukan sahaja menukarkan benda-benda seperti minyak dan juga penapis udara, tapi ianya juga berguna untuk mengenalpasti bahagian-bahagian dalaman kenderaan yang mungkin sudah tidak berfungsi. Kerosakan ini mungkin akan mengakibatkan pembaziran minyak, atau lebih teruk lagi jika terjadinya permasalahan lain pula.

4.Tayar Kempis
Aha, ini merupakan kaedah yang paling popular untuk membazirkan petrol. Tayar yang kempis bukan sahaja membakar petrol secara berlebihan, tetapi juga merosakkan tayar kenderaan anda dengan lebih cepat. Lebih teruk lagi ianya juga berpotensi untuk mengakibatkan kemalangan!

5.Memecut Melihat Lampu Isyarat Bertukar Hijau
Lampu isyarat sudah bertukar hijau, dan anda sudah terlambat. Tetapi, tidak perlu terburu-buru menekan pedal minyak sekuat yang boleh. Ini hanya akan mengakibatkan lebih banyak petrol dipam ke enjin kenderaan anda. Anda tidak perlukan semua tekanan tersebut untuk memecut, pandulah dengan kadar yang normal ya.

6.Memandu Terlalu Perlahan
Ada yang beranggapan apabila mereka memandu secara perlahan, mereka akan mendapat jarak perjalanan yang lebih. Walaubagaimanapun, keadaan ini sebenarnya hanyalah akan merosakkan enjin dan membuatkannya menjadi kurang cekap (dan membazir petrol juga). Kuncinya di sini, seimbangkan antara dua keadaan ekstrim ini, dan pandulah dengan kadar yang sederhana.

7.Membrek Ketika Betul-Betul di Lampu Merah
Begitu juga dengan keadaan ini, apabila anda sudah nampak lampu isyarat bertukar merah, perlahan-lahan berhentikan kenderaan anda. Jangan terburu-buru berhenti hanya di saat-saat akhir. Amalan ini juga sebenarnya dapat mengelakkan pad brek anda daripada cepat rosak.

8.Mengekori Terlalu Rapat
Mengekori kenderaan hadapan dengan jarak yang terlalu dekat amatlah merbahaya. Amalan ini hanya akan menjadikan anda terlalu fokus pada kenderaan di hadapan dan tidak kepada keseluruhan kenderaan lain yang terdapat di jalanraya. Ia juga akan menyebabkan anda menjadi kurang peka jika berlaku apa-apa jua keadaan kecemasan. Selain itu, petrol juga dibazirkan, ini adalah kerana apabila kenderaan di hadapan anda membrek, anda juga harus memperlahankan kenderaaan anda.

9.Membawa Terlalu Banyak Barang
Ramai daripada kita suka meletakkan barang-barang yang tidak perlu di dalam bonet mereka tanpa diketahui alasannya. Ini sebenarnya hanya menambahkan berat kenderaan dan akhirnya menyebabkan penggunaan petrol yang berlebihan. Mahu menambah jarak perjalanan kenderaan anda? Mudah, keluarkan apa jua barangan yang tidak perlu daripada kenderaan anda!

10.Menggunakan Tayar Berprestasi Tinggi
Ramai di antara kita lebih suka memilih untuk menggunakan tayar yang berprestasi tinggi. Ini berikutan kuasa cengkaman dan aspek keselamatan yang ditawarkan melebihi daripada tayar biasa. Walabagaimanapun, tayar sebegini sebenarnya memerlukan lebih banyak kuasa untuk berjalan di atas jalanraya, lebih tinggi prestasi sesebuah tayar, maka ebih banyak tenaga yang dibakar.

Dipetik daripada:www.mymesra.com.my